Isnin, 23 Januari 2017

Rasuah Besar PBT Selama Perak dan JPS Selama! Kenapa SPRM Buta Mata?

Pendedahan blogger dari buletin sengal tidak harus di ambil sambil lewa dan harus di siasat sekiranya ianya adalah benar. Maklumat dan cerita yang di perolehi, malangnya sehingga sekarang tiada apa-apa tindakan dibuat.

Mungkin beranggapan projek ini tidak terlalu besar dan berada jauh di pedalaman Selama, Perak. membuatkan ia tidak dianggap sebagai sesuatu yang besar dan penting. Malahan, ia juga dianggap sebagai kecil dan remeh.

Namun rasuah dan penyelewengan tetap rasuah dan penyelewengan. Tidak ada sebarang usaha yang boleh menghalalkan salahlaku dan penyelewengan kuasa itu. 

Sebuah projek rancangan tebatan banjir Lembangan Sungai Kerian dalam Mukim Hulu Selama, Daerah Selama Perak dipertikaikan. Malah sewajarnya mampu menarik perhatian SPRM.




Turut dipersoalkan ialah penempatan untuk pemindahan sebahagian daripada penduduk yang tinggal di kawasan rezab sungai, masih belum sempurna iaitu tanpa ketiadaan bekalan air bersih serta tercemar dan ketiadaan infrastruktur yang lengkap. Malah ditempatkan berhampiran dengan Hutan Simpan Bintang Hijau serta jauh daripada penempatan yang penyaluran kemudahan asas dibuat secara mudah.


Mengapa sepatutnya penduduk yang tinggal di kawasan rizab sungai dipindahkan ke suatu kawasan baru, tidak melibatkan dua orang yang lain walaupun mereka bermastautin di atas rizab sungai?

Bagaimana penempatan baru boleh dibina di atas satu kawasan Hutan Simpan yang tidak mendapat kelulusan secara perundangan daripada Jabatan Perhutanan Perak sedangkan ia jelas menyalahi undang-undang mengikut Akta Perhutanan. Mengapa Pejabat Daerah seperti sengaja menunjukkan kelalaian dalam kes ini?

SPRM dan pihak berkuasa seharusnya segera campur tangan dan segera memintas penyelewengan ini, kerana selain daripada menambahburukkan reputasi kepimpinan negara kerana skandal serta gejala rasuah, apa yang berlaku di Bukit Bertam, Hulu Selama juga jelas menunjukkan berlakunya ketirisan dan kehilangan hasil pendapatan negeri dan negara. Anda boleh lihat di bawah:


Sabtu, 21 Januari 2017

Menteri KPDNKK dan ADUN Selama Tengok Sama Isu Rakyat di Perumahan RPT Bukit Bertam Selama.

Kenyataan Media AMK Larut
Tarikh: 19hb Disember 2016
Kepada : Ketua Pengarang



Perkara: Menteri KPDNKK dan ADUN Selama Tengok Sama Isu Rakyat di Perumahan RPT Bukit Bertam Selama.

Angkatan Muda Keadilan Cabang Larut ingatkan Menteri KPDNKK Dato’ Hamzah Zainuddin dan ADUN Selama jangan lupa selesaikan isu yang membelenggu penduduk RPT Bukit Bertam, Selama.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Larut, Saudara Muhamad Aiman Aizuddin berkata penduduk-penduduk di RPT Bukit Bertam adalah terdiri daripada penduduk tempatan yang diminta untuk berpindah ke kawasan tersebut kerana kediaman mereka dahulu adalah kawasan banjir.

Beliau berkata, penduduk-penduduk di kawasan ini menghadapi masalah tiada bekalan air bersih yang terawat dan terpaksa membeli air di kedai-kedai untuk kegunaan makan dan minum.

”Saya berasa sedih ketika ahli parlimen Larut mengumumkan kenaikan harga minyak masak, penduduk di kawasan ini jangankan isu kenaikan minyak masak malah untuk membeli bekalan air bersih pun amat membebankan mereka. Sepatutnya sebagai seorang menteri beliau perlu memastikan supaya air bersih dari Lembaga Air Perak dapat disalurkan dengan segera masuk ke kawasan ini.”

Tambah beliau, penduduk di kawasan ini juga terpaksa menghadapi masalah kemudahan infrastruktur seperti jalan raya yang hanya menggunakan laluan yang sama dengan lori-lori balak dan kenderaan perkebun getah yang lain. Jalan ini hanya di letakkan batu.

”Seorang penduduk berkongsi keperitannya kepada saya, pada waktu malam mereka takut untuk keluar ke kedai membeli barang-barang keperluan kerana kawasan tersebut agak pendalaman dan gelap tambahan pula kawasan ini dikelilingi dengan pokok-pokok. Sudah lama mereka berharap agar lampu-lampu jalan disediakan supaya mereka mudah bergerak pada waktu malam.”

Beliau berkata sepatutnya sebagai kerajaan pemerintah isu-isu rakyat seperti ini perlu diutamakan. Kerajaan tempatan sepatutnya merendah diri mengambil contoh daripada Kerajaan Negeri Selangor yang telah berjaya menyelesaikan pelbagai isu rakyat disana. Jika perkara ini berlaku rakyat tempatan yang akan mendapat manfaatnya.

KEADILAN Larut turun melawat kawasan tersebut ketika menyampaikan sedikit sumbangan barangan asas kepada penduduk di sekitar Sungai Bayor, Selama. Turut hadir Ketua Cabang KEADILAN Larut YB Senator Dr. Muhamad Nur Manuty, Ketua AMANAH Larut En Razali Ismail,Pengerusi BERSATU Larut En. Radzi dan beberapa pimpinan Pakatan Harapan yang lain.

Muhamad Aiman Aizuddin Bin Md Husin
Ketua AMK Larut









Khamis, 19 Januari 2017

BERITA SINAR HARIAN (TERSISIH DARI KEPERLUAN ASAS)

SELAMA – Majoriti penduduk yang tinggal di kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Bukit Bertam, di sini, kecewa apabila penempatan mereka masih tidak mempunyai bekalan air bersih dan kemudahan jalan yang baik.
Walaupun menetap di penempatan tersebut sejak 2015, sehingga kini banyak kemudahan asas masih tidak ada, dan keadaan tersebut menyukarkan kehidupan penduduk, tambahan pula penempatan ini agak jauh di pedalaman.

Penduduk, Mohd Nor Che Zainal Abidin, 29, berkata, seharusnya sebelum penduduk berpindah ke sesebuah penempatan, kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalan perlu disediakan.

“Bekalan elektrik hanya diperoleh lepas beberapa bulan pindah sini, tapi masalah bekalan air bersih dan jalan masih berlarutan sampai sekarang,” katanya.

Tambah Mohd Nor, ketika ini penduduk di sini, yang terdiri daripada sembilan keluarga hanya menggunakan air bukit untuk menjalankan aktiviti harian.

“Lama-lama kami bimbang kebersihan air itu sebab puncanya terdedah kepada pelbagai binatang.

“Kita sendiri tak tahu, air itu diminum atau dikongsi dengan haiwan apa di atas sana. Jadi penduduk di sini terpaksa beli air untuk minum dan masak,” katanya.

Dia berkata, masalah utama yang sering berlaku ketika ini ialah kehadiran haiwan liar seperti babi hutan yang kerap merosakkan paip air.

“Kadang-kadang babi hutan ini berendam dalam kawasan takungan air. Sumber air sepatutnya bebas najis terutama air bertakung sebab boleh memudaratkan pengguna,” katanya.

Katanya, semua penduduk di penempatan ini berharap agar bekalan air bersih dapat disalurkan ke kawasan berkenaan segera.

“Bila nak buat kenduri atau berlaku kematian, penduduk berdepan banyak masalah sebab tak ada air bersih,” katanya.

Dua kilometer jalan rosak, gelap

Penduduk, Noriah Ismail, 55, pula berkata, selain bekalan air, penduduk di penempatan ini berhadapan masalah kemudahan jalan.

“Sejak pindah, jalan digunakan untuk keluar masuk adalah jalan rosak dan berlubang. Untuk keluar ke jalan utama, penduduk perlu lalui jalan berlubang sejauh dua kilometer,” katanya.

Menurutnya, penduduk berhadapan masalah apabila melalui kawasan tersebut pada waktu malam.

“Bukan saja jalannya berlubang, lampu jalan pun tak ada. Bayangkanlah, dua kilometer jalan rosak dan tak ada lampu,” katanya.

Katanya, rata-rata penduduk tidak berani keluar malam kerana keadaan jalan yang teruk dan gelap.

“Kami bimbang jumpa binatang liar masa lalu jalan itu," katanya.

Namun jelasnya, penduduk tiada jalan alternatif untuk keluar bekerja dan menghantar anak ke sekolah.

“Keadaan lebih teruk bila musim hujan, tapi kami tak ada pilihan lain,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Siti Ramlah Mat Hassan, 61, berkata, sebelum ini pihak berkenaan pernah berjanji membina surau di penempatan ini, namun sehingga kini tapak tersebut masih kosong.

“Kami memerlukan surau untuk pelbagai aktiviti termasuk solat dan kegiatan keagamaan.

“Dah lama kami tunggu nak hidup lebih baik. Diharap masalah ini terutama bekalan air bersih diselesaikan cepat,” katanya.

Kerajaan terus membantu


Sementara itu, Adun Selama, Datuk Muhammad Daud Mohd Yusoff berkata, pihaknya sedia maklum masalah dihadapi penduduk dan satu kertas kerja sedang dibuat bagi mendapatkan peruntukan projek bekalan air.

“Difahamkan peruntukan melibatkan kos sejumlah RM300,000 dan diharap masalah dihadapi penduduk terutama melibatkan bekalan air bersih dapat diselesaikan,” katanya.

Katanya, kerajaan sentiasa membantu penduduk di penempatan ini dari semasa ke semasa.

“Jika ikut perjanjian awal, penduduk hanya diberikan sebuah rumah saja dan masing-masing bersetuju.

“Namun kita faham bahawa masalah bekalan elektrik dan air seumpama ini akan berbangkit, jadi kita tetap cuba sedaya-upaya membantu,” katanya.

Laporan lengkap permasalahan dan pengaduan penduduk rancangan perkampungan tersusun (RPT) dari Jejak Sang Perantau: http://e-business2umarketing.blogspot.my/2017/01/laporan-permasalahan-dan-pengaduan.html#links

Sumber Berita Sinar harianhttp://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/perak/tersisih-dari-keperluan-asas-1.613853

Selasa, 17 Januari 2017

BERNOSTALGIA DENGAN KAMPUNG HALAMAN DAN ZAMAN KANAK-KANAK

16 Januari 2017 selasa, saya sekarang berada di dalam office tak sibuk seperti hari-hari biasa. Almaklumlah bila kerja dah siap tunggu nak pergi ke tempat projek yang baru dapatlah rehat sikit hihihi. Tiga empat tahun lamanya bekerja keras memeras otak nak siapkan sesebuah kawasan projek binaan bangunan yang dirancang mengikut masa yang ditetapkan, tidak semudah dengan kata-kata. Bila dah siap dan nampak hasilnya rasa puas sangat-sangat. Masa sekarang yang bagi ada kerja kat saya team pdd, team pmd dan team maintenancelah selalu tanya itu ini macamana nak settle defect dengan sub-contractor yang masih dalam warranty, kenalah bantu selesaikan juga nanti custemur marah pula beli rumah mahal-mahal tak puas hati sebab ada defect. Kepuasan pelanggan kena di jaga. Siapa yang kerja dengan pembinaan bangunan tahulah macamanakan dari permulaan kerja berkaitan structure, architecture, m&e dan landscape hingga siap handover.

Dalam ada masa sikit kat office ni terasa nak menulis pula sebenarnya zaman sekolah dulu saya ni bukan minat sangat nak menulis apatah lagi nak menaip macam dalam blog ni. Tapi tak apalah janji anda faham maksud saya yang ingin di sampaikan. Kebetulan juga, Allah izinkan saya untuk mengisi masa lapang saya dengan menulis cerita yang berkaitan tentang kampung halaman dan masa kanak-kanak saya. Saya menaip ikut gerak hati sambil mengingati, menurut saya masa paling terkesan tetap masa kanak-kanak di kampung halaman. Masa di mana saya menghabiskan waktu bersama alam, tanpa ada tanggungjawab dan tanpa perlu berfikir itu ini yang penting hanya bermain bersama kawan-kawan.

Seperti cacatan saya bertajuk Bernostalgia dengan kampung halaman dan zaman kanak-kanak saya hanya bercerita perkara yang hanya saya lalui dan ingat, mungkin ada yang saya lupa dan ada juga yang saya sengaja tak mahu ingat buat-buat lupa.  Tentang perjalanan kehidupan saya di masa yang lalu mungkin tidak seperti kebanyakan orang lain. kenangan dengan keluarga, dengan kawan-kawan, dengan jiran-jiran, dengan alam dan suasana kekampungan, dan dengan semua yang pernah saya lalui. Banyak kenangan yang tak dapat dilupakan. Semua cerita itu hanya tinggal kenangan yang tak mungkin dapat berulang kembali.

Setiap orang mesti mempunyai cerita masing-masing. Dan masing-masing cerita mesti berbeza, karana perjalanan hidup seseorang itu lain-lain. Kadangkalanya yang menyedihkan, seronok bahkan ada yang membuat fikiran kita "down" ketika bila teringat kenangan yang menyedihkan. Yang pasti perjalanan hidup seseorang itu ada dua kemungkinan, bahagia atau sengsara, kaya atau miskin, dihormati, atau tidak dihormati, disukai atau dibenci, dan sebagainya. Tetapi anda pasti setuju jika saya menyebut perjalanan hidup seseorang itu adalah perjalanan menuju ke muara, iaitu jalan menuju kematian.

Bercakap tentang kematian, fikiran saya seolah-olah tak percaya. Bila ada orang-orang di kampung saya yang dulu saya kenal, yang sering berjumpa, tambah pula waktu budak-budak dulu selalu bermain dirumahnya telah meninggal beberapa bulan yang lalu. Saya bukan rasa nak sedih atau menangis, karana bagi saya kematian itu adalah benar setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Kematian juga tidak mengira tua atau muda. Cuma terkadang teringat-ingat kenangan yang dilalui bersamanya. Sebenarnya dah ramai orang-orang yang saya kenal telah pun mendahului menemui kematian mereka. Termasuklah ayahanda saya sendiri yang bernama Ahmad bin Latif telah pun menemui ajalnya pada 24/12/2014 pada umur 79 tahun. "Innalillahiwainnailaihirojiun". Tolonglah hadiahkan pahala bacaan Al-fatihah anda untuk arwah ayah saya. Terima kasih.

Saya adalah anak ke 8 dari 11 adik beradik. Pada suatu hari arwah ayah saya bercadang untuk mengubahsuai rumah supaya lebih selesa demi keselesaan anak beranaknya. Dalam usaha sedang menambak tanah di halaman rumah supaya lebih tinggi, dia telah diberitahu kawasan perkampungan kami akan terlibat dengan projek rancangan tebatan banjir (RTB) dan semua penduduk akan dipindahkan. Usaha dan anggan-angan kami semuanya terbantut untuk membuat rumah baru yang lebih tinggi dan selesa, bimbang pula nanti dah baiki dan buat rumah elok-elok kena dipindakan pula, bukankah rugi namanya.

Saya dan adik beradik yang lain bersepakat untuk pindahkan sementara ayah dan emak ke rumah lain yang lebih selesa demi keselamatan dan kesihatan buat kedua ibubapa kami. Tetapi dalam diam arwah ayah saya memang tidak boleh menerima. Jiwa hidup dikampung sangat menebal. Setiap minggu dan terasa rindu dia mesti balik ke kampung juga, tidak mengira siang atau malam. Pada ketika itu rumah dikampung belum dirobohkan lagi, tiada masalah untuk bermalam di situ.

Hubungan antara kawan-kawannya, kebunnya dan alasan untuk solat berjemaah di Masjid Bukit Bertam buat kami akur dan memahami perasaannya. Tindakan arwah ayah yang tidak mudah dipujuk membuatkan kami semua semakin bimbang atas keselamatan ayah yang semakin berumur. Jarak antara kampung halaman dengan rumah di Taman Muatiara, Kulim agak jauh bagi faktor kudratnya. Kami semua tabah menunggu tempat pemindahan baru sehinggalah ayah telah menemui ajalnya tanpa sempat melihat rumah barunya.







Susunan Allah adalah sebaik-baik susunan ada hikmah disebaliknya. Rupa-rupanya indah khabar dari rupa. Setelah sabar menunggu sekian lama seolah-olah menjadi mimpi ngeri buat kami sekeluarga dan semua penduduk kampung. Opsss ada juga yang tidak kisah dan ambil peduli, mungkin keimanan dan kesabarannya lebih tinggi. 

Anda bolehlah melihat di sini: http://e-business2umarketing.blogspot.my/2017/01/laporan-permasalahan-dan-pengaduan_11.html#links

Itulah sekelumit cerita saya dari kampung halaman yang mungkin dapat memberikan wawasan terkait dengan kehidupan. Bahawa hidup itu penuh dengan warna-warni. Hidup itu penuh dengan cabaran dan keunikan masing-masing. Salam dari Jejak Sang Perantau!!!..