Khamis, 19 Januari 2017

BERITA SINAR HARIAN (TERSISIH DARI KEPERLUAN ASAS)

SELAMA – Majoriti penduduk yang tinggal di kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Bukit Bertam, di sini, kecewa apabila penempatan mereka masih tidak mempunyai bekalan air bersih dan kemudahan jalan yang baik.
Walaupun menetap di penempatan tersebut sejak 2015, sehingga kini banyak kemudahan asas masih tidak ada, dan keadaan tersebut menyukarkan kehidupan penduduk, tambahan pula penempatan ini agak jauh di pedalaman.

Penduduk, Mohd Nor Che Zainal Abidin, 29, berkata, seharusnya sebelum penduduk berpindah ke sesebuah penempatan, kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalan perlu disediakan.

“Bekalan elektrik hanya diperoleh lepas beberapa bulan pindah sini, tapi masalah bekalan air bersih dan jalan masih berlarutan sampai sekarang,” katanya.

Tambah Mohd Nor, ketika ini penduduk di sini, yang terdiri daripada sembilan keluarga hanya menggunakan air bukit untuk menjalankan aktiviti harian.

“Lama-lama kami bimbang kebersihan air itu sebab puncanya terdedah kepada pelbagai binatang.

“Kita sendiri tak tahu, air itu diminum atau dikongsi dengan haiwan apa di atas sana. Jadi penduduk di sini terpaksa beli air untuk minum dan masak,” katanya.

Dia berkata, masalah utama yang sering berlaku ketika ini ialah kehadiran haiwan liar seperti babi hutan yang kerap merosakkan paip air.

“Kadang-kadang babi hutan ini berendam dalam kawasan takungan air. Sumber air sepatutnya bebas najis terutama air bertakung sebab boleh memudaratkan pengguna,” katanya.

Katanya, semua penduduk di penempatan ini berharap agar bekalan air bersih dapat disalurkan ke kawasan berkenaan segera.

“Bila nak buat kenduri atau berlaku kematian, penduduk berdepan banyak masalah sebab tak ada air bersih,” katanya.

Dua kilometer jalan rosak, gelap

Penduduk, Noriah Ismail, 55, pula berkata, selain bekalan air, penduduk di penempatan ini berhadapan masalah kemudahan jalan.

“Sejak pindah, jalan digunakan untuk keluar masuk adalah jalan rosak dan berlubang. Untuk keluar ke jalan utama, penduduk perlu lalui jalan berlubang sejauh dua kilometer,” katanya.

Menurutnya, penduduk berhadapan masalah apabila melalui kawasan tersebut pada waktu malam.

“Bukan saja jalannya berlubang, lampu jalan pun tak ada. Bayangkanlah, dua kilometer jalan rosak dan tak ada lampu,” katanya.

Katanya, rata-rata penduduk tidak berani keluar malam kerana keadaan jalan yang teruk dan gelap.

“Kami bimbang jumpa binatang liar masa lalu jalan itu," katanya.

Namun jelasnya, penduduk tiada jalan alternatif untuk keluar bekerja dan menghantar anak ke sekolah.

“Keadaan lebih teruk bila musim hujan, tapi kami tak ada pilihan lain,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Siti Ramlah Mat Hassan, 61, berkata, sebelum ini pihak berkenaan pernah berjanji membina surau di penempatan ini, namun sehingga kini tapak tersebut masih kosong.

“Kami memerlukan surau untuk pelbagai aktiviti termasuk solat dan kegiatan keagamaan.

“Dah lama kami tunggu nak hidup lebih baik. Diharap masalah ini terutama bekalan air bersih diselesaikan cepat,” katanya.

Kerajaan terus membantu


Sementara itu, Adun Selama, Datuk Muhammad Daud Mohd Yusoff berkata, pihaknya sedia maklum masalah dihadapi penduduk dan satu kertas kerja sedang dibuat bagi mendapatkan peruntukan projek bekalan air.

“Difahamkan peruntukan melibatkan kos sejumlah RM300,000 dan diharap masalah dihadapi penduduk terutama melibatkan bekalan air bersih dapat diselesaikan,” katanya.

Katanya, kerajaan sentiasa membantu penduduk di penempatan ini dari semasa ke semasa.

“Jika ikut perjanjian awal, penduduk hanya diberikan sebuah rumah saja dan masing-masing bersetuju.

“Namun kita faham bahawa masalah bekalan elektrik dan air seumpama ini akan berbangkit, jadi kita tetap cuba sedaya-upaya membantu,” katanya.

Laporan lengkap permasalahan dan pengaduan penduduk rancangan perkampungan tersusun (RPT) dari Jejak Sang Perantau: http://e-business2umarketing.blogspot.my/2017/01/laporan-permasalahan-dan-pengaduan.html#links

Sumber Berita Sinar harianhttp://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/perak/tersisih-dari-keperluan-asas-1.613853

Tiada ulasan: