1. Ramai yang masih keliru tentang apakah dokumen-dokumen yang perlu dimati stem dan apakah dokumen-dokumen yang hanya perlu ditandatangani di hadapan pesuruhjaya sumpah.
2. Dokumen yang perlu dimati stem biasanya adalah dokumen-dokumen kontrak / perjanjian yang melibatkan sekurang-kurangnya dua pihak.
3. Dimana kesemua pihak dalam kontrak tersebut telah menurunkan tandatangan masing-masing pada muka surat akhir kontrak / perjanjian tersebut dihadapan saksi yang berkelayakan dari segi undang-undang (seperti peguam, hakim mahkamah, notary public dsbg).
4. Dan kontrak tersebut apabila telah ditandatangani, ianya akan mengikat kesemua pihak yang berkontrak ANTARA SATU SAMA LAIN.
5. Untuk membolehkan kontrak / perjanjian tersebut mempunyai nilai dari sudut undang-undang dan untuk membolehkan ianya diterima sebagai bahan bukti di Mahkamah sekiranya pada kemudian hari berlaku perbalahan berkaitan dgn kontrak tersebut, maka ianya WAJIB di mati stem di pejabat duti stem LHDN.
6. Pun begitu, jika tidak dimati stem, ianya TIDAK menjadikan dokumen kontrak tersebut TIDAK SAH. Cuma ianya mungkin tidak boleh diterima sebagai bahan bukti di mahkamah sehinggalah ianya di mati setem . Dan jika ianya ingin di mati setem kelak selepas sebulan daripada tarikh perjanjian, penalti akan dikenakan terhadap dokumen tersebut oleh LHDN.
7. Manakala dokumen yang perlu ditandatangan dihadapan Pesuruhjaya Sumpah pula adalah dokumen yang melibatkan satu perakuan bersumpah yang dibuat oleh mana-mana pihak sama ada seorang atau lebih dari seorang berkenaan dengan sesuatu fakta.
8. Dan perakuan bersumpah itu hanya akan mengikat PIHAK yang membuat perakuan bersumpah itu SAHAJA. Dan perakuan bersumpah itu hendaklah ditandatangani dihadapan Pesuruhjaya Sumpah.
9. Jadi jika anda hendak buat satu perjanjian jual beli atau perjanjian sewaan atau apa-apa sahaja jenis perjanjian dengan kawan anda atau dengan pihak lain misalnya, yang mana masing-masing akan terikat satu sama lain dengan terma-terma dalam perjanjian tersebut, maka prosedur yang PALING BETUL adalah anda buat satu perjanjian yang berkenaan (atau boleh lantik peguam untuk sediakan perjanjian tersebut) dan masing-masing turunkan tandatangan dihadapan peguam sebagai saksi, kemudian pergi mati stem.
10. BUKANNYA pergi pejabat pesuruhjaya sumpah kemudian suruh tukang taip di pejabat pesuruhjaya sumpah tu sediakan satu perjanjian ringkas dan anda turunkan tandatangan di hadapan pesuruhjaya sumpah, kemudian pesuruhjaya sumpah turunkan tandatangan dan cop pesuruhjaya sumpah pada perjanjian tersebut.
Cara ini TIDAK TEPAT DARI SEGI PROSEDUR UNDANG-UNDANG.
11. Tetapi sekiranya anda hanya ingin buat satu perakuan untuk mengesahkan tentang sesuatu perkara yang hanya akan mengikat diri anda sahaja, misalnya perakuan yang geran tanah anda telah hilang dari simpanan, maka tak perlulah anda buat satu perjanjian dan pergi mati stem. Memadailah dengan anda buat satu surat akuan bersumpah kemudian pergi ke pejabat Pesuruhjaya Sumpah untuk perakuan dan pengesahan oleh Pesuruhjaya Sumpah sahaja.
Sumber: SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)