Ramai yang bertanyakan kepada saya, adakah pemaju kena pastikan bekalan air dan elektrik telah disambungkan ke rumah sebelum mereka boleh serah milikan kosong (kunci) rumah kepada pembeli?
Sekiranya pemaju serah kunci (milikan kosong) kepada pembeli tanpa bekalan air dan elektrik, adakah pembeli boleh menuntut ganti rugi terhadap pemaju?
Sebenarnya ramai yang masih keliru tentang perkara ini. Di sini saya huraikan jawapannya:
1. Kalau kita rujuk kepada perjanjian jual beli yang menggunapakai Jadual G atau Jadual H Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlsenan), jelas menyatakan bahawa Pemaju hendaklah membenarkan pembeli mengambil milikan kosong rumah setelah perakuan siap dan pematuhan (CCC) dikeluarkan dan bekalan air dan elektrik sedia untuk disambungkan ke bangunan tersebut.
Perkataan "bekalan air dan elektrik sedia untuk disambungkan tersebut" mengundang banyak kekeliruan.
2. Sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan perkataan bekalan air dan elektrik sedia untuk disambungkan itu BUKAN BERMAKSUD bekalan air dan elektrik telah disambungkan ke rumah tersebut. Tetapi hanya membawa maksud pemaju telah menyediakan saluran utama untuk membolehkan air dan elektrik dimasukkan/ disambungkan ke rumah tersebut.
3. Misalnya pemaju telah sediakan tempat untuk dipasangkan meter elektrik di rumah tersebut atau telah pasang saluran paip utama untuk membolehkan meter air dipasang di rumah tersebut.
4. Tanggungjawab untuk menguruskan penyambungan bekalan air dan elektrik kerumah tersebut adalah menjadi tanggungjawab pembeli itu sendiri.
5. Pembeli perlu pergi ke TNB atau Syarikat Bekalan Air (SBA) untuk membayar bayaran deposit penyambungan bekalan air dan elektrik dan menyerahkan dokumen dokumen yang perlu sebagaimana yang dikehendaki oleh syarikat pembekal elektrik dan air tersebut.
6. Selepas itu barulah TNB dan SBA akan memasang meter air dan elektrik di rumah anda dan bekalan air serta elektrik akan disambungkan ke rumah anda.
7. Pembeli juga tidak boleh menuntut gantirigi terhadap pemaju kerana gagal memasukkan bekalan air dan elektrik kerana ianya bukanlah tanggungjawab pemaju.
8. Serahan milikan kosong yang dibuat tanpa bekalan air dan elektrik yang telah disambungkan kerumah adalah dianggap sebagai serahan milikan kosong yang sah dan sempurna.
Harap tulisan ini dapat merungkai kekeliruan kebanyakan orang berkenaan dengan isu tersebut.
SUMBER: SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)