Ahad, 26 Februari 2017

APA BEZA SERAHAN MILIKAN KOSONG DAN SERAHAN KUNCI?

Ramai orang keliru tentang apa yang dimaksudkan dengan serahan kunci dan serahan milikan kosong. Nampak sama, tetapi hakikatnya tidak serupa.

Di sini saya huraikan perbezaan antara kedua-duanya:

1. Sekiranya pemaju serah kunci rumah anda, itu tidak beerti yang pemaju juga telah serahkan milikan kosong rumah anda secara sah. Ada sesetengah pemaju yang hanya serahkan kunci rumah semata-mata  tanpa menyerahkan milikan kosong rumah.

2. Tahukah anda, serahan milikan kosong rumah hanya dianggap sah apabila:-
i. Perakuan siap dan pematuhan (CCC) telah dikeluarkan oleh Arkitek, dan
ii. Bekalan air dan elektrik sedia untuk penyambungan ke Bangunan tersebut, dan
iii. Pembeli telah melaksanakan dan mematuhi segala terma dan waad di pihaknya di bawah Perjanjian Jual Beli, dan
iv. Penyerahan kunci kepada pembeli dibuat pada masa serahan milikan kosong tersebut.

3. Ertinya, kunci hanya boleh diserahkan kepada pembeli beserta milikan kosong  setelah KESEMUA SYARAT untuk penyerahan milikan kosong seperti di atas disempurnakan. Selagi belum sempurna semua syarat tersebut, penyerahan kunci tidak boleh dibuat. Kalaupun ianya dibuat, itu tidak menjadikan ia serahan milikan kosong yang sah disis undang-undang.

4. Walaupun sekiranya kunci telah diserahkan, ia tidak memberikan hak kepada Pembeli untuk mendiami rumah tersebut selagi mana milikan kosong tidak diserahkan kepada mereka secara sah.

5. Tempoh liabiliti kecacatan hanya bermula pada tarikh serahan milikan kosong dibuat, bukannya pada tarikh serahan kunci rumah dibuat.

6. Begitu juga dengan tuntutan ganti rugi kelewatan (LAD) yang hanya boleh dibuat oleh pembeli selepas tarikh milikan kosong diserahkan dan bukannya selepas tarikh kunci rumah diserahkan oleh pemaju.

Harap tulisan ini dapat merungkai kekeliruan kebanyakan orang berkenaan dengan isu tersebut.

SUMBER: SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

Tiada ulasan: